Sunday 26 October 2014

Apotekari

Si bengkok meringkuk
Hakikat dan majaz terketuk
Direnggut kasar dimamah cambuk
Langsung diperosok cuba memasuk
Di tempat asalnya layu terperuk

Panca opor sudahkah dicicip ?
Cubalah meski pahit
Dan menyiat perit

Friday 17 October 2014

Benign

Momentum beranak dan ada yang retak
Dingin membuah nyilu tiap subuh malu malu
Dan keratin mereput

Memutar pita kaset dengan pensel
Dan menyesal mencuba keluar bulatan
Cuba menghalau lalat di pinggiran sedang apa yang dicari hanya sedikit cairan
Lalat cuba juga hinggap pada talam lain
Setiap kali menjatuhkan sista, kuman meraja

Ah persetankan itu

Tuhan membiarkan lubang untuk bertukang
Tiada erti lintang pukang kerana tulisan sudah terbentang
Kenyang lah daripada bayang-bayang dan terbangkan layang-layang

Biar tinggi di langit biru dan tiada siapa tahu

Saturday 11 October 2014

Aloi

Aroma lembut lavender
Seluruh ceruk dirajai tenang

Seharusnya damai
Tapi ada yang terkapai cuba menggapai

Dua bulan
Ditinggalkan dan meninggalkan
Hakikat yang menyedihkan;
Iaitu perpisahan

Yang kuat jatuh berulang dan bangun cemerlang
Si lemah terduduk lentang masih menyalahkan lantai berlubang
Maka tiada lah diberi angin meroboh melainkan akar sebenar kukuh

Moga darjat ditinggi
Gelemat dosa dihabisi
Dan gunung kebajikan teguh didiri

Sabar akan memekar
Iman kian kekar
Itulah sekuat pagar

Tuesday 7 October 2014

Lambda

Spektrum penenang
Firus, sian, biru,
Cerah gelap yang indah

Lembut bergulung
Membelai halus
Tidak jemu mengelus
Setia bahkan

Sepapat nemo dan moyang karang
Maafkan kerasnya sepatu
Dan mohon disimpan rahsiaku

Hakikatnya sebelum senyum dimuat
Kelopak sejurus dikesat
"Buat-buat "
Moga tiada menangga mayat

Seribu langkah moga ada yang ditinggalkan
Biru dan coklat jingga diamanah menyimpan
Bahawa ada biji remia masih tersangkak kelelahan
Untuk itu terima kasih kuucapkan

Rona yang dulu terasa jauh ditinggalkan
Perlahan ya untuk dua tahun ke depan
Jika gagal kita lakar pelan
Bina sumur impian

Nyawa
Leukotriene
Histamin
Oksitosin
Serakan
Foton

Ahh sudah jauh
Cukup dulu ayuh berkayuh

Terima kasih sang teman yang kutitipkan pesan
Moga tiada aral di jalan
Hingga selamat dinobatkan