Sunday 30 December 2018

Spektra bianglala

Assalamualaikum semua, nama saya Indigo. Saya salah satu daripada tujuh rona pelangi. Ahli sains mengatakan saya ialah suatu spektrum warna yang panjang gelombangnya antara 450 dan 420 nanometer. Saya diapit oleh warna Biru dan Ungu pada setiap kali hujan memyerakkan cahaya mentari membentuk pelangi.

Isaac Newton meletakkan saya dalam Bulatan Warna, suatu konsep yang ditemuinya. Orang Melayu juga memanggil saya warna Nila, dulu-dulu saya juga dipanggil Emas Biru kerana nilai saya yang anta permana.

Masih ingatkah dulu awak-awak masa kelas sains sekolah rendah gigih metah menghafal ''Michael Jackson Kena Halau Balik India Utara'' atau merah jingga kuning hijau biru indigo ungu; warna-warna indah pelangi.

Atau jika awak-awak dari keluarga ada-ada yang belajar warna dari cakera padat interaktif Caillou; seorang kanak-kanak berambut berapa helai itu, awak pasti ingat mnemonic ROY G BIV mewakili red orange yellow green blue indigo violet. Hah, itulah saya. Warna indigo yang jarang-jarang sekali dijadikan warna persalinan raja sehari misalnya.

Saya tidak pasti awak semua tahu mengenai ikan nila, ikan yang terkenal memakan anaknya sendiri; itu tiada lah kaitan dengan saya yang lemah gemalai ini.

Atau pernahkah awak terpapas istilah Anak Indigo/ Anak Nila; istilah yang mula diperkenalkan pada tahun 70an, atau orang putih sana memanggil juga Crystal Child/ Star Child; untuk menggambarkan perihal anak yang lahir ke dunia untuk memacu perubahan dan membangunkan spiritual umat manusia seluruhnya. Haa, yang ini saya tak malu mengaku perkaitannya dengan saya. Mungkin kehebatan aura indigo ini sudah tersohor di seantero buana, ehem ehem.

Adapun, oleh keganjilan warna nila ini, mesti awak ingatkan saya ini pewarna tiruan kelahiran makmal kan? Sila angkat tangan beramai-ramai, saya ingin kira.

Ramainya, salah lah jawapan awak. Saya ini warna kelahiran alam. Dari Jepun hingga ke India, dari Eropah santak ke Indonesia, sudah sedia lama ada petani yang telah beberapa keturunan mengusahakan pembuatan warna indigo dan perusahaan mencelup kain menggunakan warna indigo.

Awak tahu, saya antara sahabat karib samurai Jepun sejak 1600an lagi? Saya juga kamceng dengan bomba Jepun purba. Juga digemari oleh mereka yang menderita gatal-gatal alah, yang kini digelar eczema. Hah bagaimana pula? Biar saya ceritakan.

Adapun di negara matahari terbit itu, di daerah Tokushima di Shikoku terdapat sebatang sungai, Yoshino-gawa namanya, yang airnya mengalir ke bawah tanah, memanaskan tanah, dan menjadikan ia sesuai untuk penanaman tumbuhan indigo; Polygonum tinctoria/ Persicaria tinctoria. Maka daerah itu menjadi masyhur berabad-abad lamanya dengan penanaman indigo dan penghasilan warna indigo.

Saya telah sebati mewarnakan pakaian dan artikel seharian rakyat Jepun, orang asing yang menyaksikan jadi tertarik dan menggelar saya warna ''Biru Jepun.''

Adapun tentang persahabatan saya dan samurai Jepun itu, asalnya kerana saya dikenal sebagai pencelup pakaian yang antibakteria, maka samurai Jepun memakai alas baju yang dicelup dengan warna indigo di bawah perisai mereka untuk mengelakkan luka mereka dijangkiti kuman, apabila tercedera.

Manakala abang bomba Jepang pula menggunakan kelebihan saya yang kalis api sehingga 1500 darjah Fahrenheit, dan memakai baju seragam bercelup warna nila untuk bertugas memadamkan api menyala.

Warna asli nila juga dapat mengelakkan gigitan serangga, melegakan gatal-gatal kulit dan eczema serta mengurangkan bau badan apabila dipakai pada pakaian. Dari kerana syahdan nya kegunaan saya, rakyat Jepun memulakan tradisi mewarnakan pakaian dengan indigo atau aizome menurut mereka.

Kata salah seorang pengusaha warna nila ini, kelebihan warna nila semulajadi ialah ia menjadi cantik seiring dengan masa, maknanya bila dipakai semakin lama semakin cantik. Bukannya seperti pencelup indigo tiruan, makin dipakai dibasuh makin luntur. Warna indigo yang terhasil boleh diolah menjadi pelbagai tona seperti nando-iro (biru nak kehitaman), kachi-iro (warna biru laut gelap), hinggalah secerah tona iaitu aiji-ro (indigo nak putih sedikit). Pendek kata, tukang warna tekstil dengan indigo asli ini sampai biru kekal kuku-kuku tangan mereka dek terlalu lama bergelumang warna ini. Lihat video di pautan ini kalau ingin melihat sendiri: https://www.greatbigstory.com/stories/the-real-blue-indigo

Saya sedikit berjauh hati kerana khabarnya kini di daerah Tokushima itu, hanya tinggal lima orang petani yang masih menerus tradisi menanam indigo. Iya lah, bukan mudah menghasilkan warna nila, setahun lamanya baru disiapkan. Menghasilkan fabrik bercelup indigo yang pelbagai tona juga memakan masa berhari-hari. Jadi makin ramai pengusaha memilih warna indigo tiruan sekarang.

Masih sudikah awak membaca? Iya lah bosannya baca pasal negeri seberang, tidak adakah rakyat nusantara yang mengolah warna nila ini. Nila ini dikatakan merupakan asal perkataan ''aniline dye'', katanya juga Arab dan Parsi menggunakan kata yang dekat-dekat juga iaitu al-nil dan nila untuk warna biru ini. Perancis dan Portugis menggunakan anil untuk menggelar warna indigo. Perkataan India lama juga menyebut nilah atau makna lainnnya biru gelap.

Seperti masyarakat Jepun, alam Melayu juga menggunakan warna nila asli dari tumbuh-tumbuhan untuk mewarnakan kain tenun semisal pua kumbu dan bermacam lagi. Cumanya tanamannya sedikit berbeza. Yang ditanam bukanlah Polygonum, tetapi Indigofera tinctoria. Pohonnya mempunyai daun berbulu dan bunga ungu cerah. Orang Sunda memanggilnya pohon Tarum, di Jawa dipanggil Tom dan orang Melayu memanggilnya Tarom dan Nila.

Di Filipina, mereka memanggil tumbuhan dari keluarga kekacang ini dengan nama tagung-tagung, talom atau tailung. Orang Thai memanggilnya kraam atau na-kho.

Sungguhpun saya pernah digelar Emas Biru di Indonesia sana, lebih-lebih lagi Jogja yang pernah digelar Jaluran Indigo ''Indigo Belt''; kini tanah penanaman indigo banyak ditukar kepada tanaman tebu yang lebih menguntungkan dan tidak renyah pembuatannya, tembakau juga mengambil-alih tanah pertanian indigo.

Rakyat India di negeri Tamil Nadu yang ibu negerinya Chennai/ Madras itu juga ada menanam indigo jenis Indigofera tinctoria ini. Cuaca panas lembap di sana sangat sesuai lah untuk bertanam indigo ini. Apatah lagi biji benih indigo cepat bercambah malah tidak perlu dibubuh baja kimia segala, kerana tumbuhan indigo ialah jenis kekacang yang mampu menangkap zat nitrogen dari atmosfera dan mengikatnya menjadi baja. Di sana, mereka boleh menuai indigo dua/ tiga kali setahun.
Warna indigo Tamil Nadu sangat bagus kualitinya. Blok Indigo atau kek indigo dari sana paling besar saiznya. Rujuk pautan ini untul lihat rupa blok indigo: http://www.wildcolours.co.uk/html/indigo_cakes.html

Awak sudah jeluak mendengar cerita saya sang nila? Saya belum lagi menceritakan kepada awak bahawa Kaum Maya di El Salvador juga ada menanam pohon nila jenis Indigofera tinctoria ini. Alah, awak mesti kenal kaum Maya yang pernah meramalkan dengan kalendar mereka bahawa dunia akan kiamat pada tahun 2012 itu? Sampai ada filem dibuat mengenainya kan.

Masih ada sejenis tanaman lagi yang menghasilkan pigmen seakan indigo iaitu ''Woad'' atau digelar omputih juga Dyer's weed. Nama sains nya Isatis tinctoria/ Isatis indigotica. Juga disebut menpunyai zat antikanser dan digunakan dalam perawatan Cina. Tumbuhan ini katanya asalnya dari Rusia sana dan kini boleh ditemui serata Eropah tengah dan selatan.

Nah, sudahkah anda jelak mendengar sahaya berlipur lara? Seperkara akhir yang ingin saya sentuh tentang diri saya ialah tentang celana anda. Eh celana? Boleh pula saya melalut kan. Tidaklah begitu, jika anda sedang memakai celana jeans/ denim sekarang ini, tahukah anda asal warna jeans itu?

 Warna biru denim itu terhasil dari tumbuhan Indigofera itulah. Yang mulanya digunakan ialah indigo dari India. Sehingga akhirnya permintaan terhadap indigo asli begitu tinggi dari syarikat seumpama Levi Strauss Co sehingga terhasillah warna indigo tiruan. Jeans yang mengguna indigo asli masih ada, terutama di daerah Jepun itu, tetapi harganya mahallah setanding kualiti.

Pembuat tekstil indigo juga mengutilisi kaedah Tie Dye atau Shibori (Jepun), Ikat Celup, adire oniko (Nigeria)  atau bandhani (India). Kaedah ini menghasilkan corak yang unik dan asli. Jengahlah pautan ini http://www.wildcolours.co.uk/html/shibori.html

Uhuk, uhuk serasa kering tekak saya bercerita panjang-panjang ini. Adakah awak masih mengekalkan letak duduk saya sebagai warna kedua terakhir dalam spektrum pelangi yang sering dilupakan orang? Ah orang muda sekarang lebih suka memakai pakaian warna hitam kan, hitam itu menawan katanya. Tidak mengapalah, sekali-sekala semasa menila baju sekolah adik/anak, ingatlah secebis cerita saya ini ya.

Sehingga kita berjumpa lagi di lain pakaian, assalamualaikum :)


(bianglala: pelangi)


Rujukan:

-Manikam Kalbu, Faisal Tehrani

- Pigment Compendium: A Dictionary of Historical Pigments

By Nicholas Eastaugh, Valentine Walsh, Tracey Chaplin, Ruth Siddall-The Sugar Plantation in India and Indonesia: Industrial Production, 1770–2010
-http://www.satuharapan.com/read-detail/read/tarum-pewarna-alami-komoditas-dagang-penting
-https://www.greatbigstory.com/stories/the-real-blue-indigo
-https://qsacks.wordpress.com/2015/10/13/denim-dan-jeans-dalam-sejarahnya/
-https://lonerwolf.com/indigo-child/
-https://id.wikipedia.org/wiki/Nila
-http://www.wildcolours.co.uk/html/tamil_nadu_indigo.html
-https://japan-magazine.jnto.go.jp/en/1505_aizome.html
-http://www.woad.org.uk/html/woad_facts.html
-http://www.wildcolours.co.uk/html/shibori.html
-http://www.wildcolours.co.uk/html/mayan_indigo.html

Nelangsa

Moga-moga terhapus segala pedih

Wednesday 12 December 2018

Jelapang


Hijau lantang saujana
Hamisnya kelebur
Lintah gelut mengukur
jengkal kulit berpeluh

Benyek si beras baru
Peroi pula usang ditanak

Air mata pak tani
Keringat bercucuran
Gabungan
siput gondang
hampa
sambau merakus
keladi bunting
kiambang
Punah diundang

Aku ingin mendakap kehijauan ini
menghayati perih temulang
pesawah bersukma walang
penerus warisan
menabur
menanam
yang jarang, disulam
mengairi
meracun
menuai
Sesuap rezeki
Bijirin ruji pertiwi

Sepertimana aku pingin lagi menelusuri kerlipan dedaunan zaitun yang
berkilau keperakan
Membasuh mata akan samudera
pepohonan sitrus yang meruap aroma segar
Memuji Dia yang membangkitkan dari selubung alam;
kelopak badam memekar

Seperti itu jualah aku
ingin mencintaimu
Padi nan berbudi



Sunday 9 December 2018

Manis

Bismillah. Kata nak tulis cerpen kan.
Tapi terdetik nak buat sinopsis buku.

Sebenarnya ni buku second hand kot. Beli dari Kak Mariah Mustapha Jemari Seni sebab nak tolong kumpul dana untuk wakaf van untuk Arwah Mohd Rosdi Mohd Zin (atau nama pena beliau Imaen) yang tiada anak sebagai bekalan doa di alam sana. (Al fatihah)

Tertarik nak pilih buku ni sebab tajuknya. "Appleby Farm". Haha. Sebagai "naturalistic learner" sejak kecil, saya memang suka kebun, ladang, tumbuhan dan haiwan.

Buku ini dibahagikan kepada beberapa bab. Penulis, Cathy Bramley menceritakan tentang Freya, si watak utama; seorang gadis yang ceria dan bertenaga, dan sentiasa bertukar-tukar kerja kerana mudah bosan dengan kerja yang sama.

Bermula dari pekerjaan di kafe kecil milik ibu rakannya, Freya tiba-tiba dipanggil pulang ke Appleby Farm, tempat jatuh bangunnya semasa kecil; kepunyaan ibu dan bapa saudaranya.

Masalah demi masalah bertimpa-timpa di ladang warisan keluarga itu. Freya pulang ke pinggir bandar, cuba menarik rambut di dalam tepung.

Dalam usahanya itu, Freya secara tidak langsung telah kembali berhubungan baik dengan ibubapanya, berpatah arang dengan teman lelakinya, dan berjumpa pengganti yang sangat memahami situasinya di Appleby Farm.

Penulis benar-benar melakukan pembacaan dan pengkajian yang teliti tentang kerja-kerja perladangan dan peternakan, penceritaan beliau tentang wabak Bovine tuberculosis yang melanda ternakan pakcik Freya sangat jelas dan menggunakan fakta yang tepat.

Tulisan ini ringan tetapi berisi, saya habiskan dengan perasaan sayang terhadap rumah keluarga saya sendiri.

Saya cuba merisik buku-buku Cathy Bramley yang lain di pesta buku Big Bad Wolf, tapi malangnya, ia tidak dijual di sana.

Sekian, selamat kembali membaca buat yang terlalu lama meneleku telefon pintar seperti saya. Dan selamat mengikis sifat "tsundoku", hanya tahu membeli buku, bacanya bila pun tak tahu. 

*buang sawang*

Lama tak tulis. 
Maybe sebab lama tak betul-betul membaca kot.

Nak tuang air dari jag, jag mesti la ada isi dulu kan. 
Mungkin akan tulis cerpen adaptasi kisah benar kehidupan kot. Insya-Allah.