Cikgu Siha tinggal di hujung Kampung Damai. Dia telah tinggal di rumah papan beratap zink berbilik dua itu sejak dua tahun lalu seorang diri kerana masih bujang.
Sebenarnya, dia benci tinggal di kampung yang hampir dengan hutan itu.Sudah beberapa kali dia terserempak babi hutan melintas bila mana dia keluar rumah awal sedikit untuk mengajar.Tapi dia tiada pilihan lain kerana dia ditempatkan mengajar di sekolah rendah dalam kampung itu. Dengan ketinggiannya dan dia rasa dia agak cantik, dia layak jadi pramugari sebenarnya, tapi posisi yang sepatutnya jadi miliknya, jatuh ke tangan anak saudara sepupu kerani Pejabat Penerbangan Mahsuri itu. Sungguh dia benci sikap pilih kroni begitu. Puas dia memaki hamun manusia-manusia itu, siap berazam mahu boikot syarikat penerbangan itu lagi. Tapi semua itu tak mengembalikan jawatan itu. Maka terperuklah dia di ceruk kampung itu sebagai guru.
Yang menambahkan kebencian Cikgu Siha terhadap kampung itu, ialah betapa ramainya penagih air ketum dalam kampung itu. Berkali-kali dia terserempak anak-anak muda sedang lalok dan terkeronyok kepuasan dalam semak dekat lorong masuk rumahnya.
Jiran terdekat Cikgu Siha, Semeon dan isteri dan anak-anaknya tinggal tidak jauh daripada rumahnya. Semeon bekerja sebagai pemanjat madu lebah , isterinya cuma tinggal di rumah dan anak-anaknya tidak bersekolah, hanya merayau-rayau keliling kampung, pulang ke rumah hanya bila senja.
Cikgu Siha bencikan anak-anak Semeon kerana mereka dianggapnya pengacau ketenteraman hidupnya. Mereka sering mengganggu ayam-ayam peliharaan Cikgu Siha, pernah dikejarnya anak-anak ayam peliharaannya sampai mereka mati kepenatan. (Cikgu Siha mula membela ayam supaya dapat makan sisa-sisa makanannya, maklumlah tinggal seorang , dia sering saja tak mampu menghabiskan makanan yang dimasak.) Pernah suatu ketika Cikgu Siha terpijak najis manusia di depan pagar rumahnya, dia yakin itu kerja anak-anak Semeon kerana mereka seringkali dilihat bermain konda-kondi depan pagar rumahnya.
Dengan yakinnya dia pergi memaki hamun anak-anak Semeon , dia meluku kepala mereka melepaskan rasa marahnya. Mereka hanya terkebil-kebil menahan tangis yang tak terluah. Cikgu Siha sempat meluahkan kata-kata pedas kepada Semeon ,''kalau tak pandai jaga anak tu, hantar je la dekat JKM, nanti dah besar kalau tak makan ajar jadi sampah masyarakat''. Semeon dan isterinya cuma diam , mereka sedar mereka tak berpelajaran tinggi macam Cikgu Siha.
Cikgu Siha berlalu dengan seribu kepuasan, puas rasanya dapat luahkan segala kebenciannya terhadap kampung itu dekat budak-budak itu. Maka, hari-hari seterusnya dia jalani tanpa sebarang gangguan dan dia rasa tenang sedikit.
Suatu hari, Cikgu Siha pulang dari sekolah seperti biasa. Cikgu Siha selesa menaiki Bas Mara kerana selain tidak mampu membeli kereta dan belanja minyak, perkhidmatan bas itu sangat cekap. Dia berjalan lenggang masuk lorong menghala ke rumahnya.
Sampai depan pagar rumahnya, Cikgu Siha terkejut beruk melihat seorang pemuda lalok air ketum sedang enak bertinggung melepaskan hajatnya di situ. Segera disergah pemuda itu, pemuda itu lari berterabur kerana terkejut. Cikgu Siha segera lari ke belakang rumah di mana reban ayamnya terletak, takut-takut ayam jinaknya kena sapu.
Alangkah terkejutnya Cikgu Siha melihat anak-anak Semeon ada di situ sedang menghalau seekor biawak kabuk sebesar anak buaya yang cuba membaham anak-anak ayam dan telur-telur ayam yang sedang dieram. Maka, tiada lain perasaan Cikgu Siha pada masa itu ialah malu yang teramat sangat dia rasa mahu berkurung selama-lamanya dalam rumah kecilnya. Tahulah dia bahawa selama ini dia telah bersangka buruk terhadap Semeon dan keluarganya.
Rentetan daripada kebenaran yang terungkap itu, Cikgu Siha mula berbaik-baik dengan keluarga Semeon, dia telah mendaftarkan anak-anak Semeon masuk ke sekolah. Dia juga telah berbesar hati mengajar anak bini Sameon belajar mengaji dan asas-asas fardu ain. Kini dia bahagia tinggal di kampung itu kerana dia rasa hidupnya kembali berisi.
TAMMAT