Tuesday, 22 September 2015

rafflesia

Dia tersenyum puas. Meja makan diatur rapi, makanan yang dimasaknya dihiaskan agar berselera keluarganya menyantap.

Lantas dia memanggil suami dan anak-anaknya yang bersidai di ruang tamu. Suaminya Bakar masih tidak menyahut; mata dan jari melekat di smartphone Oppi terbarunya. Anak-anaknya yang kesemuanya lelaki seramai dua orang duduk bersilang kaki, TV di hadapan terbuka sekadar memecah sunyi. Dentingan notifikasi aplikasi Whatsapp tidak henti berteriak.

Suaranya naik seoktaf lagi, berteriak memanggil insan-insan kesayangannya itu. Mereka bangun , mencabut akar yang bertunas di punggung. Makan malam berlangsung seperti biasa. Limah si ibu berterusan memanjakan kekasih-kekasihnya.

Selepas makan, Limah bertanya kepada anak sulungnya Dali. ''Along, dengarnya tadi keputusan peperiksaan dah keluar. Ada bawa balik tak report card, beri ibu lihat sekejap''. Dali bangun dengan malas ke arah suatu longgokan di sudut ruang keluarga. Tempat dia dan adiknya melonggokkan beg sekolah dan buku-buku sekolah mereka.

Buku laporan bertukar tangan. Muka Limah seperti ayam berak kapur. Pucat melihat dakwat merah memenuhi setiap grid markah.

 ''Bang, tengok anak kita ni bang. Abang kena buat sesuatu. Dali tu calon PT3 tahun ni''.
''Hmmm, nantilah abang sembang dengan guru kelas dia''. Dia begitu girang kerana group Whatsapp sekolah rendahnya dulu mempopularkan kembali kegemilangannya sebagai wira sekolah. Sedikit pun tidak terkesan dengan kesedihan Limah. Limah bagaimanapun seolah mendapat jaminan dengan kata-kata itu, dan masuk tidur dengan sedikit lega. Bakar masih tersenyum menatap skrin kejung.

Dali menyelinap perlahan-lahan. Kunci motor diraih perlahan, bimbang mengejutkan ibu bapanya yang tertidur. Destinasi lumba Dali dan kawan-kawan malam ini ialah Lebuhraya Kesas. Nasibnya baik malam ini. Pulang dengan kulit yang tersiat, tapi dia dapat mendaki podium kemenangan.

Waktu terus berlalu, dan tiada apa yang berubah dalam keluarga itu. Kini tiba masanya Dali berumah tangga. Limah begitu berhati-hati memilih menantu, dikhuatiri bakal menantu tidak mampu memanjakan Dali seperti mana lakunya kebiasaan.

Akhirnya, dengan banyaknya rencah yang ditabur untuk mengharumkan nama Dali, dia berkenan dengan anak kawannya. Durrah nama gadis itu. Gadis itu graduan bugar dalam Quantity Surveying. Jurus budaknya, pandai memasak menjahit berkemas serba serbi. Limah puas hati.

Keluarga berjabat tangan. Tarikh perkahwinan disepakati. Khemah didirikan dan seekor lembu ditumbangkan. Durrah gadis yang taat hanya menyetujui keputusan orang tuanya menikahkan dia dengan Dali. Putih kata mereka, putihlah jua dirinya.

Tempoh bulan madu begitu manis dirasai. Dan Limah menetap seminggu di rumah sewa anaknya, untuk memastikan Durrah sesigap dirinya dalam mengurus rumah tangga.

Limah pulang, dan yang tembelang kian terbentang. Dali tidak tahu berbuat apa-apa selain makan, tidur dan pergi ke tempat kerja. Duit gajinya pula dihabiskan untuk hobinya, menambah aksesori keretanya. Durrah yang taat dan lurus menyelesaikan semua kerja rumah dalam kesibukan bekerja sebagai QS. Anak berturut hadir, dan kesibukan Durrah bertambah. Nafkah anak-anak masih daripada Durrah. Dali tidak berubah.

Masa berlalu, dan Durrah kelihatan lebih tua sepuluh tahun daripada Dali. Terkadang  terserempak kawan lama yang menyangka Durrah itu kakak Dali. Dali sesekali  berbangga pada Durrah yang dia kelihatan jauh lebih muda daripada rakan seusianya yang sudah memutih rambut dan janggut. Durrah hanya senyum pahit. Selaku gadis Melayu yang taat, dia tidak mampu bersuara kepada sesiapa untung nasibnya.

Malang tidak berbau. Tiang tempat Dali bergantung selesa telah reput. Jasad Durrah yang sekian lama berpayah tidak mampu lagi bertahan. Tulang belakangnya yang sedia bengkok telah kehilangan pelapik antara tulang lumbar ke lima dan sacrum pertama. Dali masih melayan Durrah seperti hamba dan banknya, hingga akhirnya tulang-tulang yang hilang pelapik itu menggelongsor pula antara satu sama lain.

Saraf yang mengawal otot pundi kencing, otot usus besar dan organ seksualnya ditekan oleh tulang-tulang itu. Kini Durrah terpaksa memakai lampin dewasa ke tempat kerja, namun masih lagi terpaksa bekerja dan menjadi hamba. Anak-anaknya terpaksa dibesarkan dengan kudrat sendiri, mujur ada yang sudah bekerja. Dali tidak pernah ambil tahu, tanpa rasa malu setiap 21 haribulan meminta sedikit wang daripada Durrah.

Suatu hari Limah datang melawat. Keadaan rumah yang seolah tongkang pecah mengundang amarah. Entah apalah malangnya bermenantukan wanita bekerjaya seperti Durrah. Malasnya menjadi-jadi. Durrah pula kebetulan sedang berbaring melegakan sakit belakang. Dia tidak dapat ke tapak pembinaan hari ini, lampinnya kehabisan stok. Malu jika sampai ke tapak dengan kain basah hancing.

''Ini rupanya kerja kau sehari-hari. Menternak lemak saja, rumahnya tidak disiapkan. Makan tiada dihidangkan. '' Lahar nista Limah menggelegak, secukup rasa dia keji menantunya itu. Limah ternampak pula lampin dewasa terpakai dalam tong sampah di pintu dapur. Rasa jengkel menerpa hatinya. Wanita ini sudah tidak pantas bersama Dali yang masih segak bergaya. Harus kucarikan menantu baru. Dali patut ceraikan saja wanita tak guna ini. Seranah Limah dalam hati.

Maka, sepurnama kemudian, Dali menceraikan Durrah. Dan tiga bulan kemudian, Dali bernikah dengan seorang dara kampung muda bergetah. Durrah tinggal bersama anak-anak yang ternyata lebih sayangkannya daripada Dali. Anak-anak menjaga Durrah penuh kasih sayang. Hidup kian tenang.

Sementelah Dali yang tidak sedarkan diri, dikikis habisan oleh dara materialistik itu. Prinsip hidup ''biar papa asal bergaya'' benar-benar menyusahkan Dali. Dali tersepit; nekad meminjam daripada ceti haram.

Sebulan kemudian, Durrah sedang berehat sambil membaca surat khabar. Dia kini tidak bekerja dan ditanggung oleh anak-anaknya. Kopi suam dihirup. Mata tertancap pada tajuk akhbar, ''Lelaki berusia 59 tahun mati dibunuh along, isteri, 25, dirogol beramai-ramai.'' Kopi manis tersembur.


No comments:

Post a Comment